Sunday, November 21, 2010

Satelit Pemangkin Sistem Komunikasi

Kalau anda menonton filem Transformer: Revenge of the Fallen pasti boleh mengingati robot dari Decepticon yang cuba mengawal komunikasi bumi dengan menggodam satelit ketika awal babak filem terbabit.
Kenapa ia dilakukan?
Jelas, satelit memainkan peranan penting dalam sistem komunikasi dan boleh dikatakan nyawa penduduk 
di bumi yang bergantung kepada penggunaannya sama ada untuk 
tujuan komunikasi, keselamatan, hiburan dan sebagainya.

Secara umumnya, satelit adalah objek berputar di angkasa mengelilingi objek lain yang lebih besar seterusnya mengekalkan posisi dalam graviti objek tersebut. Ia berdasarkan konsep astronomi dengan merujuk keadaan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi sebagai ‘satelit’ asli sedia ada. Konsep astronomi terbabit yang mendatangkan idea penciptaan satelit buatan manusia yang mengelilingi bumi bagi tujuan komunikasi seterusnya menempa satu lagi pembaharuan dalam perkembangan ketamadunan manusia.


Satelit dengan capaian komunikasi serantau diperkenalkan pada 1960 dengan memantulkan transmisi sehala melalui ECHO 1 sementara pelopor generasi satelit baru dimulakan pada 1962 apabila TelStar yang mempunyai pemancar penerima serta penghantar isyarat diperkenalkan. Bercakap soal penerimaan isyarat, satelit mampu menghantar isyarat pada gelombang rendah membolehkan penerimaannya di bumi melalui perkakasan penerima menjangkau liputan meluas ke pelusuk dunia. 
Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan satelit sebagai jawapan kepada persoalan sambungan liputan di kawasan pedalaman terutama membabitkan perkampungan yang sukar dijangkau sistem komunikasi lain.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1, dibina oleh Soviet Union dan dilancarkan pada 4 Oktober 1957. Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk bujur dan bergerak pada altitud di antara 225 hingga 950 kilometer (km). Sepanjang berada di orbit, ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkannya bertahan semasa proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim. Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi. Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya selain perlu mengekalkan suhu bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas matahari dan cuaca sejuk ruang angkasa. Malah, satelit perlu berupaya bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid.

No comments:

Post a Comment